Apabila musim tengkujuh melanda negara ini, timbul
kebimbangan dalam kalangan pengguna kenderaan
tentang risiko kenderaan mereka ditenggelami air
akibat banjir. Walaupun mereka telah mengambil langkah
berjaga-jaga, seperti meletak kenderaan di tempat letak
kereta yang tinggi, serta mengelak daripada melalui kawasan
yang sering dilanda banjir semasa hujan lebat, namun
risiko kenderaan ditenggelami air banjir masih ada. Oleh
itu, pengguna pasti tertanya-tanya sama ada mereka boleh
membuat tuntutan insurans atau takaful bagi kerosakan
kenderaan yang diakibatkan oleh banjir.
Secara amnya, polisi insurans/takaful motor komprehensif
memberikan pampasan bagi musibah seperti kerosakan
atau kehilangan kenderaan akibat kemalangan, kebakaran
mahupun kecurian. Namun demikian, kerosakan akibat banjir
atau apa jua yang disebabkan banjir adalah dikategorikan
sebagai bencana alam dan disenaraikan sebagai risiko yang
tidak dilindungi oleh polisi insurans/takaful motor. Antara
kerosakan atau kehilangan akibat banjir yang tidak dilindungi
ialah:
• kerosakan terhadap kenderaan yang ditenggelami banjir.
• kehilangan kenderaan akibat hanyut semasa banjir.
• kebakaran dan letupan kenderaan akibat dimasuki air
banjir.
• kemalangan terhadap kenderaan dengan objek lain
yang dihanyutkan air banjir seperti batang pokok atau
sampah.
Selain banjir, bencana alam lain yang tidak dilindungi
termasuklah:
• gempa bumi dan bencana lain yang terhasil akibat
daripadanya seperti ombak besar/tsunami.
• tanah runtuh (dan akibat daripadanya seperti letupan
gas atau kebakaran akibat gangguan elektrik berikutan
tanah runtuh).
• ribut petir (dan akibat daripadanya seperti kerosakan
daripada kenderaan dipanah petir semasa ribut).
Walau bagaimanapun, pihak insurans/takaful akan melindungi
kenderaan pengguna apabila berlaku banjir, sekiranya
pengguna melanggan perlindungan komprehensif* berserta
perlindungan tambahan untuk bencana alam semula
jadi. Perlindungan tambahan ini juga terpakai untuk risiko
bencana alam yang lain, seperti gempa bumi, tanah runtuh
dan ribut petir. Perlindungan tambahan ini dikenakan caj
premium/sumbangan tambahan sekitar 0.5% daripada
jumlah yang dilindungi. Sebagai contoh, sekiranya kenderaan
diinsuranskan sebanyak RM30,000, pemilik kenderaan akan
dikenakan premium/sumbangan tambahan sebanyak RM150.
Walau bagaimanapun, jumlah pemilik kenderaan di negara
ini yang memilih untuk mendapatkan perlindungan insurans/
takaful motor daripada banjir dan bencana alam yang lain
didapati masih di tahap amat rendah. Menurut data yang
dikongsikan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM),
hanya 2% hingga 4% pemilik kenderaan memilih untuk
melindungi kenderaan mereka daripada bencana alam
seperti banjir.
Kebanyakan pemilik kenderaan berpendapat bahawa mereka
tidak akan mengalami musibah bencana alam. Oleh itu,
mereka mengelak daripada membeli perlindungan tambahan
untuk bencana alam bagi menjimatkan kos. Pengguna hanya
sedar kepentingan untuk mendapatkan polisi tambahan
perlindungan banjir apabila kenderaan mereka telah rosak
atau musnah akibat banjir.
FOMCA menyarankan agar pengguna dapat menyemak
semula polisi insurans/takaful motor dan mempertimbangkan
untuk melanggani pakej perlindungan tambahan insurans/
takaful untuk menguruskan risiko kerugian akibat bencana
alam seperti banjir.
*Perlindungan komprehensif juga dikenali sebagai polisi pihak pertama
seperti berlaku kematian/kecederaan pihak ketiga, kehilangan/kerosakan
kepada kenderaan yang disebabkan kecurian, kebakaran dan kemalangan
terhadap pihak lain.
Sumber: www.piam.org.my / www.fomca.org.my
Reference:
https://www.bnm.gov.my/documents/20124///38eab6fb-0a94-515e-f98e-293dcbf3e380/
0 Comments
What do you think of the post?
Kindly share your input, we want to hear from you.